Monday, May 28, 2007

Lirik 4: Lagu Unsur Nasihat

Terima kasih kepada Pakdo dari Sutrapawana a.k.a. d'Perantauan Seni UIAM dan Arjunasukma dari dikirbarat.net yang telah melawat Putera Kencana. Sokongan anda amat kami perlukan untuk terus bergiat dalam seni warisan ini.

Apa-apa pun ahli-ahli Putera Kencana terpaksa berehat sebulan dua kerana telah memasuki minggu peperiksaan, diikuti dengan cuti semester. Namun blog ini akan sentiasa dikemaskini kerana Penyelarasnya tetap bekerja walaupun tengah cuti.

Dalam pada itu juga, saya menerima panggilan telefon dari ayahanda di kampung menyatakan Kolej KINI yang dibuka di Mempaga, Bentong, ingin membeli alat dikir barat untuk persembahan mereka. Tapi buat sementara, saya boleh pinjamkan alat dikir barat kepunyaan Putera Kencana sebab tarikh persembahan kumpulan itu adalah pada 13 Julai, Kolej Komuniti masih belum habis cuti semester.

Tak apalah, kita tolong mana yang patut...

Berbalik kepada lirik. Berikut adalah contoh lagu juara yang berunsurkan nasihat kepada muda mudi. Biasanya pencipta lirik akan menyesuaikan lagu mengikut perkembangan semasa agar tak ketinggalan. Lagu di bawah telah saya pelajari masa umur 14 - 15 tahun, sekarang umur dah 27... Jadi faham-faham lerr... Sekarang ni jarang kita dengar orang berjudi, tapi memang masih ada lagi golongan ini. Saya tak tahu siapa juara asal, sebab masa jadi awak-awak dulu, ayah saya yang nyanyikan.

MUDA MUDI BILA DEWASA
JANGAN JADI SEMACAM HAMBA
HIDUPNYA JOLI SEPANJANG MASA
ANAK ISTERI PORAK PERANDA


Masa ku muda di meja judi,
Harta ku ada habis ke judi,
Apa nak kata benda dah jadi,
Kalau dan papa orang pun benci.

Ingat pesanan hak ambo kata,
Rupa pun comel tdak berharga,
Hati tak senang sakit kepala,
Hidup tak aman berumah tangga.

Anak isteri aku tak hirau,
Nak hidup joli merata bandar,
Larang tak reti payah nak ajar,
Harta habis baru menyesal.

Hidup ku joli tak kira masa,
Tidak peduli kan rumah tangga,
Duit pun habis entah ke mana,
Anak isteri menjadi mangsa.

Hamba berseru muda dan mudi,
Cari ilmu mengawal diri,
Turut nafsu apakan jadi,
Hidup tak tentu separuh mati.


Berikut pula adalah nasihat kepada remaja agar sentiasa berwaspada dengan sikap manusia dan ujian dunia.

HIDUP USIA REMAJA
HARUSLAH WASPADA DARI HELAH TIPU DAYA
DUNIA PENUH PANCAROBA
JANGAN MUDAH DIKAU TERGODA

Di usia remaja hati sungguh gembira,
Semuanya indah manis belaka,
Awaslah dirimu sedari manisnya,
Mungkin mengandungi racun yang berbisa.

Jangan dikau leka hidup pura pura,
Hargailah masa yang amat berharga,
Sesaatlah masa berlalu percuma,
Rugilah hidup tiada ketara.

Godaan dunia jangan terpedaya,
Itu hanyalah palsu belaka,
Cekalkan hati mu menghadapinya,
Teguh semangat iman di dada.

Cubalah insafi renung hidup ini,
Mudakan pergi tua mendekati,
Bekalan hidup segera dicari,
Agar tak menyesal kemudian hari.

Remaja hanya sekali seumur hidup ini,
Jaga maruah diri jangan dinodai,
Hidup di dunia tiada bererti,
Akhirat jua yang kekal abadi.


Saya tak pasti andai ada lagi kumpulan-kumpulan dikir barat sedia ada hari ini mengetahui lagu-lagu yang lama atau old school sebegini, terutama kumpulan yang tukang juaranya ialah anak-anak muda. Namun syabas buat mereka yang masih ingat kepada yang lama.

p/s Saya sendiri pun ingat-ingat lupa pada rentak lagu untuk pantunnya. Masa pantun permulaan tu ingat sangat-sangat. Balik kampung nanti tanya kat Ayah la...

2 comments:

abe yie@arjunasukma said...

comel dh susun atur awak ni...lagu 'hidup joli' tu lagu gemulah salleh jambu dan lagu 'hidup usia remaja' tu lagu megat nordin...lagu lama sedap2 belaka tu..masih ada aura lagu juara sebenar..cuma ada dua tiga patah yg silap lirik, tp xper..bleh dibetulkan..tahniah atas usaha anda..

nuratie said...

Terima kasih kpd a.yie. Memang saya agak dah ada baris yang silap. Tapi saya tak pasti yang mana. Semua lirik tu didapatkan dari simpanan ayah saya. Saya cuma ingat lagunya. Tapi kasetnya yang asal entah ke mana.

Jadi tak dapatlah saya nak baiki apa yang silap...

Yang pasti memang betul kata a.Yie... lagu lama-lama memang sedap belaka.

Kerana lagu-lagu itulah saya terpaut dengan dikir barat.

p/s Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua pengunjung. Buat warga Pantai Timur, berhati-hati balik kampung raya nanti.