Wednesday, September 1, 2010

Selamat Pagi Malaysia

Persembahan dikir barat dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia disiarkan di RTM pada 27 Ogos 2010.

video

Sunday, March 8, 2009

Kursus Asas Dikir Barat

Pada 7 & 8 Mac 2009, saya telah menguruskan satu kursus asas dikir barat di kolej tempat saya bekerja. Peserta kursus adalah terdiri dari pelajar-pelajar SMT Sultan Ahmad Shah.
Saya hanya bertindak sebagai penyelaras sahaja. Jurulatih sebenar adalah Abe Yie @ Arjunasukma yang telah sudi untuk turun padang mencurahkan ilmu beliau kepada pelajar-pelajar ini.
Malang sekali apabila ahli Putera Kencana tidak dapat turut serta kerana sesi cuti semester baru bermula.
Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh kumpulan yang di bawah bimbingan Cikgu Ismail ini. Selama dua hari berkursus, peserta telah mempelajari asas-asas berdikir seperti membuat lagu, mencipta gaya dan bunga, serta bermain alat muzik.
Selain itu, mereka juga telah mempersiapkan diri untuk mengharungi pertandingan pada penghujung bulan Mac nanti.
Terima kasih diucapkan kepada Arjunasukma yang sanggup turun ke Rompin walaupun mempunyai jadual yang padat.
Saya juga mengambil kesempatan kursus untuk mendedahkan seni ini kepada anak saya yang baru berusia dua tahun ini. Harap-harap dia boleh menjadi sehebat Arjunasukma kelak!

Friday, March 6, 2009

Orang bisa mari Rompin

Bukan senang nak minta orang terer datang ke Rompin. Tapi Abe Yie @ Arjunasukma sanggup turun padang menjayakan kursus asas dikir barat untuk pelajar sekolah di sini. Malang sungguh apabila kursus yang diatur bertembung dengan cuti semester kolej. Jadi tiadalah wakil Putera Kencana yang dapat menyertai.

Kursus berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan tamat esok.

Friday, February 20, 2009

Putera Kencana bantu Gema Teksas

Hari Rabu patutnya latihan di kolej. Tapi bila dapat jemputan dari Cikgu Mail dari sekolah teknik, saya pun kumpul ahli PK dan pinjam van kolej untuk angkut ahli. Van yang hanya boleh muat 12 orang, disumbat dengan 20 orang!

Tapi puas hati bila kami dapat persembahkan lagu untuk dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar sekolah. Rata-rata pelajar masih mentah dalam seni dikir ini.

Keesokannya saya datang bersendirian untuk mulakan latihan. Walaupun selsema dan demam, tapi digagahkan jua ke sekolah untuk bantu Cikgu Mail. Lagu juara dah okay. Cuma alat muzik perlukan banyak latihan.

Kena ulangkaji VCD Arjunasukma banyak kali ni...

Thursday, February 12, 2009

VCD Teknik Asas Dikir Barat kini di pasaran!

VCD Teknik-teknik Asas Muzik Dikir Barat ini diterbitkan atas permintaan yang tinggi di kalangan para guru, jurulatih serta pendikir yang baru mengenal seni Dikir Barat.
Memandangkan permintaan yang tinggi ini, Akademi Arjunasukma telah berusaha untuk menerbitkan vcd ini, dengan bantuan kumpulan kami yang memiliki pelbagai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Berbekalkan pengalaman Arjunasukma selama 22 tahun berkecimpung dalam arena Dikir Barat bermula dari peringkat bawah hingga ke tahap profesional, syukur Alhamdulillah pada hari ini..vcd yang pertama di dunia ini kini berada di pasaran.

VCD ini mesti dimiliki oleh semua para guru, Jurulatih, Pelajar dan Penggiat Dikir Barat sebagai panduan utama untuk menerangkan dengan tepat asas teknik-teknik muzik dikir barat.

VCD ini disusun dan disunting secara terperinci bermula daripada pengenalan terhadap alat-alat muzik asas, fungsi alat muzik, teknik penghasilan bunyi, jenis-jenis rentak paluan dan contoh-contoh lagu.

Semoga dengan kelahiran VCD ini dapat melahirkan generasi celik seni dan lebih menghargai martabat seni kebudayaan khususnya Dikir Barat pada masa akan datang.

Teknik-teknik asas Dikir Barat di muatkan dalam VCD Akademi Arjunasukma yang boleh di dapati dari kami sekarang berharga RM20

Dapatkan VCD ini di sekarang >>> atau hubungi saya untuk edaran Negeri Pahang.

Wednesday, February 11, 2009

Putera Kencana giat aktif

Nafas baru Putera Kencana. Bersilih ganti ahli namun ke arah kebaikan. Alhamdulillah, ahli yang ada sekarang makin ketagih berdikir..

Malam tadi berlangsung lagi latihan. Namun kali ini Putera Kencana berazam untuk melangkah setapak lagi dengan mencuba nasib di dalam Pertandingan Dikir Barat anjuran RTM.

Lagu sedang dicipta, lenggok sedang diolah. Nantikan cabaran kami.

Tuesday, May 20, 2008

Pertandingan Dikir Barat Hari Belia Negara 2008

Putera Kencana melangkah ke hadapan lagi dengan menyahut cabaran untuk bertanding pada 17 Mei 2008, bertempat di perkarangan Stadium Bukit Jalil sempena minggu Belia Negara 2008.
Sebelum pertandingan, semua ahli Putera Kencana turun menuntut ilmu dikir di Mempaga Satu, Bentong, iaitu di rumah saya. Banyak seni persembahan yang dapat dipelajari terutama seni bermain alat muzik mengikut cara lama. En. Azman @ Ayah Wang sedang menunjukkan kemahiran beliau bermain rebana ibu. Tempoh dua hari yang ada nampaknya tidak mencukupi buat Putera Kencana, kerana sebaik sahaja check-in di hotel, mereka berlatih lagi pada sebelah malamnya. Bunga diperkemaskan, lagu pula dihafal. Tapi wujud satu masalah besar apabila dialunkan irama karut yengki dan karut kelantan oleh tukang karut, En. Sokarnor (beliau ialah ayah saya). Semua ahli menghadapi masalah untuk mengikut irama karut yang laju. Ini kerana di kolej, saya cuma membawa irama karut yengki yang perlahan, sebab saya sendiri belum mahir untuk membawa irama karut dengan cepat, tak sempat nak fikirkan ayatnya. Memang seharian kami risau memikirka hal itu.

Namun di akhir latihan, semuanya berjalan dengan baik. Awak-awak juga sudah dapat menyambut irama karut yang dibawa.
17hb Mei, iaitu hari pertandingan... Pertandingan dimulakan pada jam hampir tiga petang. Kumpulan Putera Kencana mendapat angka giliran yang ke-8, iaitu yang terakhir. Jenuh juga menunggu, tapi dapatlah kami melihat persembahan kumpulan lain dahulu. Hanya Putera Kencana sahaja kumpulan yang datang dari negeri Pahang. Yang lain datang dari Selangor dan KL.
Bagi saya, secara keseluruhan persembahan kumpulan kami biasa sahaja jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ada juga kumpulan dikir dari sekolah. Bila diumumkan keputusan, kami tidak pulang hampa apabuila dimaklumkan Putera Kencana mendapat tempat kelima dari lapan kumpulan. Malang sekali apabila hanya empat kumpulan sahaja akan memasuki pusingan akhir pada sebelah malamnya.
Memang saingan pertandingan ini sengit, terutama apabila berhadapan dengan kumpulan yang sedia berpengalaman seperti Warisan Muda dan Tabuh Perantau. Kami tidak bertandang ke Bukit Jalil untuk menyaksikan pusingan akhir kerana keluar makan meraikan ahli kumpulan yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk pertandingan kali ini.
Abe Mat dari Kumpulan Warisan Muda ketika pertandingan akhir pada sebelah malam. Saya sendiri tak pasti siapa yang menjadi juara kerana keempat-empat kumpulan yang berjaya ke pusingan akhir hebat-hebat belaka. Antara aksi-aksi peserta akhir pertandingan dikir barat.Apabila sudah habis pertandingan, beramai-ramai duduk dalam lingkungan menyanyikan lagu Wau Bulan.

Inilah dia barisan ahli Putera Kencana yang telah berlatih hari demi hari bagi menghadapi pertandingan. Diharapkan pengalaman yang dilalui memberikan lebih semangat untuk berjuang demi seni warisan.